AGENDANASIONAL

Seniwati Fauziah Nawi terima Anugerah Tokoh Seri Angkasa

PUTRAJAYA, 31 OKT: Seniwati Fauziah Nawi menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022).

Beliau menerima wang tunai RM10,000 dan trofi serta sebuah kereta, atas sumbangan beliau dalam industri seni tanah air termasuk memperjuangkan nasib anak seni tempatan.

Anugerah itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Bagi kategori Pengimbangan Audio Radio (Lokasi) Terbaik Saluran dimenangi penerbit Bernama Radio Mohd Zaini Ahmad Norbi melalui program Lintas Langsung Tinjauan Pasca Banjir Sungai Telemong. Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi.

Selain itu, dua anugerah kemuncak iaitu Dokumentari TV Terbaik dimenangi Social Playlist oleh Herbert Pua Kuo Jie membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM150,000

Drama TV Terbaik pula dimenangi Pencipta Pegang Waktu oleh Nor Shahila Harun Shah dan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan DKD sebanyak RM200,000.

Pemberian DKD ialah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara yang bertujuan membantu serta menggalakkan pengamal industri kreatif menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa terutama dalam fasa pasca-COVID-19.

ASA 2022 kembali setelah menyepi enam tahun dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Acara berprestij itu berlangsung selama dua hari yang bermula semalam bertujuan meraikan penggiat seni dan para karyawan.

Kehadiran penggiat seni tempatan turut memeriahkan majlis antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam Nor, Ella, Zulin Aziz, Sabri Yunus, Fauzi Nawawi, Lisdawati, Syafie Naswip, Nasha Aziz dan Janna Nick.

Program dua hari bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan’ itu menyaksikan hadiah bagi pemenang 34 kategori disampaikan.

Tema itu bersesuaian dengan usianya yang memasuki 50 tahun selain bertepatan hasrat K-KOMM untuk menjadikan anugerah itu sebagai pemangkin dalam penghasilan karya bermutu industri penyiaran khususnya di peringkat nasional.

ASA dahulunya dikenali sebagai Anugerah RTM, yang dicetuskan Kementerian Penerangan pada 1972, bertujuan mengiktiraf penggiat penerbitan program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

– BERNAMA


Pengarang :