Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak kepada Asari A Hamid sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Senyuman Pakcik Asari terpancar terima milikan tanah 30 tahun tertangguh

SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar meluahkan kegembiraan dengan reaksi sebahagian penduduk yang lega selepas menerima hak milikan tanah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Sabak Bernam hari ini.

“Saya gembira melihat senyuman di wajah Pakcik Asari (63 tahun) dan makcik Supiah (80 tahun) yang menerima Notis 5A pemilikan tanah di Sabak Bernam siang tadi.

“Mereka telah menunggu lebih 30 tahun malah ada yang telah meninggal dunia. Alhamdulillah penantian mereka berakhir hari ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Dalam program berlangsung di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak, beliau menyerahkan Notis 5A kepada 73 penduduk Parit 8 1/2 Barat, Sungai Besar.

Asari A Hamid. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Asari A Hamid, 63, melahirkan rasa syukur tanah didiami selama 30 tahun kini sah menjadi miliknya apatah lagi dia hanya perlu membayar kadar premium yang rendah.

“Saya dimaklumkan tentang penyerahan notis ini tiga hari lalu dan amat gembira dengan berita baik ini. Saya menunggu lama kerana tidak mempunyai harta dan kini tidak perlu risau lagi.

“Biarpun kini tidak dapat melihat kerana urat saraf mata rosak, saya bersyukur menerimanya dan pemberian lebih bermakna kerana adik turut menerimanya,” katanya kepada SelangorKini.


Pengarang :