Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang dewan negeri, Belanjawan Selangor 2023 ditangguh

SHAH ALAM, 20 OKT: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) termasuk pembentangan Belanjawan Selangor 2023 yang dijadualkan minggu depan dan awal November ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Pejabat DNS dalam kenyataan berkata sidang yang sepatutnya diadakan pada 28 Oktober, 31 Oktober, 1 hingga 4 November dan 7 hingga 10 November dibatalkan.

“Adalah dimaklumkan persidangan yang dijadualkan pada 28 Oktober 2022, 31 Oktober 2022, 01 November hingga 04 November 2022 dan 07 November hingga 10 November 2022 adalah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” menurut kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, tarikh penghantaran jawapan bagi pertanyaan DNS juga dilanjutkan sehingga 11 November depan.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Belanjawan Selangor 2023 yang dijadualkan hujung bulan ini ditunda kepada 25 November bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Speaker Ng Suee Lim akan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung keputusan itu.

Sebelum ini Belanjawan Selangor tahun hadapan dijadualkan dibentang di DNS pada 28 Oktober ini.


Pengarang :