Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Sidang kemuncak buka peluang negeri jadi hab dagang global

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pemilihan Selangor sebagai pusat operasi pemain industri logistik dan aeroangkasa sejak dua tahun kebelakangan ini boleh menjadikan negeri sebagai hab dagang global.

EXCO pelaburan berkata hasrat berkenaan juga bakal direalisasi menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang menjadi pintu masuk Asean ke negeri ini.

“SIBS membuktikan ia mampu menjadi landasan kepada dunia untuk bertemu Asean. Asean kini menjadi pemegang ekonomi kelima dunia dengan gabungan KDNK $3.2 trilion pada 2019. Asean juga dijangka menjadi pemegang ekonomi keempat dunia pada 2030.

“Oleh itu Selangor melakukan yang terbaik dengan menawarkan SIBS sebagai salah satu platform terpenting di rantau ini untuk rangkaian, kerjasama dan menjalankan perniagaan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada majlis perasmian SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sidang kemuncak itu dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari.

Pada masa sama, Chang Khim berkata Selangor terus meluaskan lagi potensinya menerusi Rancangan Selangor Pertama bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Jelasnya, ia meliputi projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) membabitkan Kuala Langat dan Sepang serta Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).


Pengarang :