EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berucap sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sidang kemuncak niaga 2022 cipta rekod baharu pempamer teramai

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seramai 906 pempamer menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini, mengatasi rekod tertinggi pada 2019 sebanyak 787.

Menurut EXCO perdagangan, pempamer teramai direkodkan menerusi Ekspo Antarabangsa Selangor yang memfokuskan acara makanan dan minuman, dengan 472 tapak pameran.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor pula disertai 123 pempamer manakala Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (113).

Sementara Ekspo Penyelidikan serta Pembangunan dan Inovasi Selangor merekodkan 112 pempamer dan selebihnya melibatkan Persidangan Perniagaan Asean Selangor.

“Bagi program Pembeli Pasar Raya, terdapat lapan pasar raya menyertai ekspo kali ini berbanding hanya dua tahun lalu,” katanya berucap pada majlis perasmian SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sidang kemuncak itu dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari.

Chang Khim yang juga EXCO pelaburan memaklumkan SIBS kali ini turut disertai 23 negara seperti Australia, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Taiwan dan China.

“Kita juga berbangga apabila terima penyertaan dari negeri-negeri seluruh Malaysia seperti Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.

Untuk rekod, SIBS yang dianjurkan sejak 2015 disertai 400 pempamer diikuti 525 pada 2016, 691 (2017), 548 (2018) dan 787 (2019).

Pada 2020, acara itu dibuat secara dalam talian susulan Covid-19 membabitkan 286 pempamer dan dilakukan secara hibrid pada 2021 meliputi 494 pempamer (fizikal) dan 623 (dalam talian).

 


Pengarang :