Pengujung mendengar penerangan kakitangan Bermaz Auto Berhad berkaitan penyelengaraan kenderaan elektrik ketika Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang kemuncak niaga catat transaksi lebih RM1 bilion setakat dua hari

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang berlangsung sejak Khamis mencatat nilai transaksi perolehan sebanyak RM1.12 bilion setakat dua hari penganjuran.

EXCO pelaburan berkata rekod sehingga semalam itu melebihi tiga kali ganda nilai sasaran sebanyak RM350 juta dengan transaksi tertinggi diperoleh daripada industri logistik dan pembuatan.

“Kita yakin mampu capai sehingga RM1.5 bilion sehingga persidangan berakhir esok. Bagi kami, perolehan (setakat semalam) adalah kejayaan yang cukup besar dan membanggakan.

“Ini berita baik. Bererti kita bawa SIBS ke tahap lebih tinggi dan mencapai matlamat penganjuran untuk jadikan Selangor sebagai hab perdagangan antarabangsa,” kata Dato’ Teng Chang Khim hari ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bercakap kepada media ketika Majlis pembukaan Persidangan Pendigitalan PKS Selangor sempena Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Berikutan pelonjakan nilai transaksi berkenaan, Chang Khim berkata ia menjadi cabaran besar pada pengajuran SIBS tahun hadapan.

“Kalau kita dapat capai sehingga RM1.5 bilion, tahun depan program ini memang jadi cabaran besar kepada kita sebagai penganjur. Kita perlu catat rekod yang tinggi tahun depan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata setakat semalam juga seramai 20,000 pengunjung direkodkan dengan majoriti merupakan pelawat dari segmen perniagaan ke perniagaan.

“Hari ini terakhir untuk peniaga. Esok persidangan berakhir dan kita buka untuk orang ramai. Kita yakin jumlah keseluruhan pengunjung sehingga 30,000 sekali gus mencapai sasaran,” katanya.

SIBS tahun lalu dianjurkan pada November merekodkan RM217.6 juta potensi jualan dan dianggap pencapaian membanggakan dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.

SIBS tahun in menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan)dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.


Pengarang :