Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November 2021.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sidang kemuncak niaga negeri buka tirai 6 Oktober, sasar potensi jualan RM350 juta

SHAH ALAM, 3 OKT: Jumlah urus niaga pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) terus menunjukkan peningkatan kecuali sewaktu pandemik Covid-19 selama dua tahun.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan sebanyak RM182 juta dicatat ketika ia dimulakan pada 2015 sebelum meningkat dalam jumlah besar kepada RM447 juta empat tahun kemudian.

“Transaksi ada turun naiknya. Jumlahnya ialah RM182 juta pada 2015, RM100 juta (2016), RM204.2 juta (2017), RM194.6 juta (2018). Kemudian pada 2019, ia mendadak naik kepada RM447 juta.

“Tetapi pandemik menyebabkan nilai itu turun kepada RM1.09 juta pada 2020 (ketika diadakan dalam talian sepenuhnya). Pada 2021, acara diadakan secara hibrid, membolehkan transaksi naik kepada RM217.6 juta.” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat gerai pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November 2021. Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijadual merasmikan acara tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Oktober. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Khim.

Persidangan empat hari yang menyasar potensi jualan sehingga RM350 juta dijangka menarik kehadiran 30,000 pengunjung selain menawarkan 850 tapak pameran.

Berikut enam acara utama dalam SIBS:

  • Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman)
  • Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan)
  • Ekspo Taman Perindustrian Selangor
  • Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor
  • Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor
  • Persidangan Perniagaan Asia

Mengulas lanjut, Chang Khim juga percaya SIBS mampu meletakkan Selangor sebagai kuasa ekonomi serantau, bukan sekadar bersaing dengan negeri-negeri di Malaysia.

Tambahnya, bilangan pengunjung juga bertambah, daripada 4,316 orang pada 2015 diikuti 10,689 (2016), 22,071 (2017), 23,737 (2018) dan 34,638 (2019).

“Jumlah pengunjung 2,618 sahaja (ketika dalam talian). Pada 2021 pula secara hibrid, jumlah pengunjung naik 25,410 orang,” katanya.

WAWANCARA PENUH lihat di sini: Cita-cita Selangor kuasai ekonomi serantau, SIBS pintu masuk Asean

 

 

 


Pengarang :