EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berucap merasmikan Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Hotel Park Royal Collection, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Simposium urus strata MPKS platform kongsi kaedah selesai masalah

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menjadi platform terbaik dalam memberi pendedahan berkaitan bangunan bertingkat.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pada masa kini pengurusan strata amat penting kerana pembangunannya semakin rancak sama ada di kawasan bandar mahupun pinggir bandar.

“Strata ini ada dua jenis sama ada bertingkat atau landed (bertanah). Apabila banyak pembangunan berkonsepkan strata, pengetahuan tentangnya perlu supaya dapat diberi penerangan.

“Diharap simposium ini menjadi medium terbaik dalam memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bangunan strata, sekaligus berkongsi kaedah dalam penyelesaian masalah strata di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan simposium tersebut di Park Royal Collection di sini, hari ini.

Tambah Sze Han, pihak berkuasa tempatan (PBT) lain juga disarankan mengadakan seminar seperti ini supaya semua pihak sedia maklum tentang perkara berkenaan.

Peserta yang hadir pada Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Hotel Park Royal Collection, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Yang Dipertua MPKS Rahilah Rahmat berkata simposium tersebut merupakan inisiatif bagi merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) 11 iaitu bandar dan masyarakat mampan.

“SDG 11 ini bertujuan menjadikan sebuah penempatan inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan. Sedar akan matlamat ini, MPKS mengambil inisiatif menganjurkan simposium untuk memberikan pendedahan bagi melahirkan sebuah kediaman yang selamat, berdaya tahan dan mampan.

“Saya percaya dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki oleh setiap panel jemputan mampu memberikan tunjuk ajar dan panduan yang terbaik dalam menjadikan sesebuah badan pengurusan lebih teratur dan bijak dalam menguruskan segala permasalahan,” katanya.

Simposium yang disertai kira-kira 140 peserta dari seluruh negara dihadiri pelbagai agensi antaranya wakil PBT, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan pemaju hartanah.


Pengarang :