Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Sindiket jual beli hartanah palsu dikesan di Selangor

SHAH ALAM, 6 OKT: Satu sindiket dikesan cuba menipu dalam urus niaga hartanah melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) termasuk menggunakan nama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) berkata modus operandi penjenayah ialah menyamar sebagai pihak yang dilantik berurusan dengan pihaknya dan PDT selain mengeluarkan notis menjual hartanah dengan memalsukan tandatangan.

“Sindiket juga menggunakan nama pegawai kanan dan tertinggi PTGS dan PDT yang masih berkhidmat mahupun telah berpencen dengan memberikan maklumat dan janji palsu bagi urusan jual beli tanah.

“Laporan polis telah dibuat bagi kes yang dikenal pasti agar tindakan tegas boleh diambil bagi sebarang penipuan jenayah ini,” katanya dalam kenyataan.

PTGS menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu dalam sebarang urusan jual niaga hartanah dan mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket.

‘Pembeli yang berhasrat untuk memiliki hartanah dinasihatkan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan ini,” katanya.

PTGS berkongsi langkah bagi mengelakkan tertipu ketika urusan jual beli hartanah:

  • Pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah
  • Buat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah), no. hak milik/ no. lot/
    no. mukim/ saiz keluasan tanah melalui carian di PDT berkaitan atau PTGS
  • Semak sekatan kepentingan seperti kebenaran hak milik, kaveat dan
    cagaran/ gadaian
  • Pastikan wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil yang sah
  • Wujudkan perjanjian jual beli
  • Gunakan khidmat peguam yang sah
  • Gunakan khidmat agen hartanah yang berpengalaman
  • Jika boleh, sila berjumpa dengan tuan tanah untuk mendapatkan
    pengesahan.

Pengarang :