KPDNHEP Selangor merampas peralatan digunakan dalam sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di beberapa lokasi negeri ini pada 9 hingga 11 Ogos 2022. Foto KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

Sindiket seleweng diesel tumpas, dua pemandu lori ditahan

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebuah stesen minyak di Batu 6 Jalan Puchong, di sini diserbu dan dua lori berisi 4,000 liter diesel bersubsidi disita kerana melakukan aktiviti penyelewengan bahan api tersebut, pada Rabu lepas.

Ketua Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Nurul Syarina Md Anuar berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan iaitu pemandu lori berkenaan.

“Hasil risikan selama dua minggu terhadap stesen minyak tersebut, pihak kami dapati lori yang telah diubah suai itu akan membuat pembelian diesel bersubsidi seawal pukul 8 pagi hingga 11.30 malam itu secara bergilir-gilir.

“Setiap lori dikenal pasti membuat pembelian sebanyak 4,000 liter diesel sehari dengan nilai RM8,600 dan pembayaran akan dilakukan pada sebelah malam sebelum stesen minyak tersebut tamat operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut membuat sitaan dokumen, resit jualan dan rakaman kamera litar tertutup stesen minyak tersebut bagi menyiasat keterlibatannya dengan sindiket terbabit.

Katanya dua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melakukan urus niaga barang kawalan tanpa lesen, manakala pemilik stesen minyak tersebut disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan kerana membenarkan pembelian secara berulang kali bagi sebuah kenderaan pada hari yang sama.

Menurutnya semua individu itu turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-BERNAMA


Pengarang :