Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 29 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Skim insurans pangsapuri kos rendah diperkenal, biayai baik pulih akibat bencana

SEPANG, 30 OKT: Skim insurans perlindungan pangsapuri kos rendah diperkenal bagi membantu penduduk membaiki kediaman yang rosak akibat bencana, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi inisiatif tersebut, kos membaik pulih rumah pemegang polisi dibiayai Kerajaan Negeri sekali gus meringankan beban penduduk terkesan.

“Ini baharu diperkenalkan tahun ini. Kenapa kita perkenalkan? Kerana pada 2021 kita banyak melawat kediaman termasuk di Sepang. Banyak rumah kos rendah terkesan bencana seperti ribut tetapi pemilik tiada wang untuk ganti bumbung.

“Jadi kita kenal pasti rumah kos rendah ini. Kalau mereka berdepan bencana, tak perlu lagi korek tabung di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta bencana negeri,” katanya selepas merasmikan Jelajah Selangor Penyayang di sini, hari ini.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM4.3 juta bagi membaik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana melalui Skim Ceria.


Pengarang :