Kanak-kanak kelainan upaya mengikuti sesi pembelajaran di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) Seksyen 7, Shah Alam ketika tinjauan pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sokong program pemulihan anak istimewa, 23 permohonan bantuan dilulus

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak 23 permohonan bantuan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) siri kedua diluluskan setakat ini sejak dibuka 18 Oktober lalu.

Ketua Jabatan AnIS berkata permohonan meliputi institusi yang menjalankan program pemulihan dalam komuniti (PDK) dan program intervensi awal (EIP).

“PDK yang lulus menerima peruntukan berjumlah RM10,000 manakala EIP memperoleh RM3,000 untuk menjalankan aktiviti serta program pemulihan kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.

“Kita menyediakan 30 kuota kelulusan, jadi masih ada baki untuk dimohon institusi berkaitan sehingga 31 Oktober,” kata Danial Al-Rashid Haron kepada Selangorkini.

Beliau berkata institusi berminat boleh memohon secara dalam talian melalui pautan
www.anisselangor.com/didikanis dan memuat turun borang diisi.

“Dokumen sokongan seperti dinyatakan dalam borang perlu dilampirkan. Dokumen tidak lengkap akan menyebabkan permohonan tidak diproses.

“Borang tersebut mesti dihantar ke Pusat AnIS, Lot G26-28 Bangunan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15, Shah Alam,” katanya.


Pengarang :