Orang ramai hadir bagi melakukan semakan di kaunter di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya pada 19 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR bermesyuarat hari ini, tentukan tarikh penting PRU15

PUTRAJAYA, 20 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada pukul 10 pagi di sini, hari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mesyuarat khas yang berlangsung di Menara SPR itu, akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Berdasarkan jemputan media yang dikeluarkan oleh SPR, satu sidang media dijangka diadakan pada pukul 12 tengah hari bagi mengumumkan tarikh pengundian, penamaan calon, tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain untuk melaksanakan PRU15.

Mesyuarat khas itu diadakan susulan pembubaran Parlimen ke-14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lepas bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

SPR juga dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, yang dijangka diadakan serentak dengan PRU15.

Kekosongan kerusi DUN Bugaya adalah berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 dan PRK DUN itu tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah mengenai kekosongan kerusi DUN berkenaan pada 12 Oktober lepas.

Pada 7 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan DUN Bugaya yang diisytiharkan pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Oktober lepas.

Susulan pembubaran Parlimen ke-14, Ismail Sabri turut menasihati semua ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor untuk mendapatkan perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

PRU kali ini berlainan apabila beberapa DUN tidak dibubarkan antaranya Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak kerana belum mencapai tempoh matang manakala tiga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.

Hanya Perak, Pahang dan Perlis membubarkan DUN masing-masing untuk membolehkan PRN diadakan serentak dengan PRU15.

Tempoh mandat kerajaan Persekutuan sepatutnya berakhir pada Julai 2023.

– BERNAMA


Pengarang :