Petugas SPR mendengar taklimat persiapan menjelang PRK DUN Slim di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim pada 28 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: Permohonan jadi pemerhati PRU15 dibuka mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Permohonan sebagai pemerhati bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 21 Okt.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi serta penjumlahan undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.

“SPR mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang permohonan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Dengan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

-BERNAMA

 


Pengarang :