Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Suburkan dakwah, negeri belanja besar baik pulih masjid, surau

Oleh Abdul Rahim Sabri

SHAH ALAM, 28 OKT: Demi mengukuhkan dakwah Islam, Kerajaan Selangor terus menyalur sumber kewangan untuk masjid dan surau untuk perkembangan agama di negeri ini.

Bantuan meliputi semua kawasan melalui program-program Kerajaan Negeri untuk memastikan ajaran Islam terus dimartabat.

Sumbangan diagih kepada institusi ibadah berdasarkan keperluan semasa termasuk menaik taraf infrastruktur supaya ia memberi keselesaan kepada jemaah seterusnya menyemarakkan nilai Islam dalam masyarakat.

Sejak 2018 hingga tahun ini, Kerajaan Negeri menyalurkan RM20 juta dana untuk mengurus masjid dan surau atau RM4 juta pada setiap tahun.

Turut disalur RM4.1 juta untuk mengimarahkan Ramadan, sumbangan Aidilfitri (RM4.1 juta), bantuan khas raya bagi petugas masjid (RM1.3 juta) dan insentif khas Ramadan serta Aidilfitri (RM1.3 juta).

Jemaah menunaikan solat Jumaat dengan saf rapat susulan peralihan negara ke fasa endemik ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk dana pembangunan sebanyak RM79.7 juta kepada Jabatan Agama Islam Selangor.

Daripada jumlah itu, RM68 juta digunakan untuk elaun 2,800 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) lantikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan 4,200 lantikan negeri.

Berikut beberapa reaksi positif wakil masjid atau surau yang menerima sumbangan kewangan untuk kegunaan institusi berkenaan:

“Kami menyuarakannya kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) berhubung perkara itu. Alhamdulillah, ia diberi perhatian dan MBI atau Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) tampil beri sumbangan.”

  • Norasikin Selamat
    Pengerusi Masjid Kampung Dato’ Dagang

“Alhamdulillah terima kasih MBI kerana meluluskan permohonan kami untuk mendapat bantuan membeli van jenazah untuk melancarkan pengurusan pengebumian.”

  • Mohd Azlan Mohd Yusof
    Nazir Masjid Al-Muhsinin

“Masjid ini dalam perancangan untuk membina bangunan tambahan ruang solat dengan objektif pembangunan untuk menambah baik bagi melahirkan suasana kondusif kepada jemaah.”

  • Firdaus Ismail
    Nazir Masjid Al-Khairiah di AU3, Gombak

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) kerana menyerahkan sendiri bantuan dan diharapkan ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.”

  • Abd Rahman Satam
    Nazir Masjid Al Rahimah

“Dapat ringankan beban bayar tiga bulan gaji guru dengan membuat tuntutan daripada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), ketika itu keadaan kewangan memang agak ‘tenat’ sebab ibu bapa tidak bayar yuran bulanan kerana anak tidak ke sekolah.”

  • Mohd Razif Mohamad Som
    Ketua guru Kafa-i As-Sufla Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas sumbangan ini, nilainya cukup besar dan amat membantu untuk baik pulih kafa ini demi keselesaan 509 pelajar.”

  • Sorayah Mohd Som
    Ketua guru Kafa Integrasi Nurul Huda Parit Mahang, Kuala Selangor

 


Pengarang :