Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor: Keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI ambil kira hak rakyat bukan Islam

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 6 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah sebarang keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hendaklah mengambil kira hak dan kepentingan masyarakat bukan beragama Islam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah ia selaras dengan ajaran Islam yang memberi rahmat kepada semua dan dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Beta ingin menegaskan Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum justeru apa-apa keputusan muzakarah yang dikeluarkan hendaklah juga mengambil kira hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia bukan beragama Islam seperti yang dijamin secara sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ajaran Islam sebagai agama yang murni dan memberi rahmat kepada semua termasuklah yang bukan Islam hendaklah sentiasa ditonjolkan,” titah Baginda .

Berucap pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Pertama 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri di sini hari ini, Sultan Sharafuddin turut bertitah sebarang kenyataan berhubung keputusan jawatankuasa itu hanya boleh dibuat pengerusi muzakarah.

Titah Baginda, ketetapan itu bagi menjamin integriti dan kepercayaan rakyat terhadap jawatankuasa berkenaan.


Pengarang :