Kakitangan KDEB Waste Management dan kontraktor sedang membersihkan longkang di Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya. Foto Facebook KDEBWM
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian WhatsApp dapat sambutan, bantu KDEBWM atasi longkang tersumbat

SHAH ALAM, 4 OKT: Talian aduan atau laporan keadaan longkang diwujudkan KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi aplikasi WhatsApp mendapat reaksi positif masyarakat.

Pengarah urusannya berkata dengan adanya talian itu pihaknya mula menerima aduan berhubung longkang tersumbat daripada penduduk di kawasan masing-masing.

“Ini antara inisiatif diambil bagi persediaan menghadapi banjir sekiranya berlaku. Orang ramai hanya perlu menghantar video dan kita akan ambil tindakan segera memastikan aliran air lancar.

“Kita mungkin terlepas pandang sesetengah kawasan dan dengan maklumat diterima membantu menjalankan kerja pembersihan,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Tambahnya, pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan sekiranya aduan diterima di luar bidang KDEBWM.

“Ada sesetengah laporan diterima bukan dalam bidang kuasa kita, namun kita tetap ambil maklum dan serahkan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya.

“Oleh demikian, KDEBWM berharap masyarakat turut serta menyalurkan maklumat supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya.

Orang ramai dipelawa menghantar aduan atau melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan masing-masing menerusi aplikasi WhatsApp KDEBWM di talian 019-274 2824.

Talian ini diwujudkan sebagai langkah bagi memastikan sistem saliran longkang yang baik dan persiapan menghadapi banjir pada November depan seperti diramal Jabatan Meteorologi Malaysia.


Pengarang :