Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat DUN Gombak Setia di Masjid Kampung Gombak Utara, Gombak pada 10 Okt. 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tangani banjir, Selangor kekal pendirian tidak bubar DUN

GOMBAK, 10 OKT: Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan keutamaan negeri ketika ini adalah menangani isu banjir dan memulihkan ekonomi demi rakyat.

“Kita konsisten mengatakan bahawa kita harus memberi tumpuan terhadap banjir dan pemulihan ekonomi. Kalau perkara ini dilupakan, kelam kabut jadi lebih tinggi.

“Tetapi ada lagi mereka (kerajaan) yang masih tak faham dan menggesa PRU diadakan,” katanya ditemui pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1444H peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Masjid Kampung Gombak Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menyifatkan tindakan terburu-buru mengadakan PRU hanya akan memakan diri.

“Sikap angkuh seperti ini yang akan memakan diri mereka, jadi tidak mengapa…kita letakkan keutamaan kepada rakyat, Insya-Allah,” katanya lagi.

Pada 5 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan tiga negeri ditadbir HARAPAN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

Pengerusi HARAPAN itu menjelaskan fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri terbabit adalah menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.


Pengarang :