Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyerahkan botol air minuman 1.5 liter kepada wakil penduduk Apartment Penaga Mas, Puchong. Foto Facebook Ahmad Azri
AGENSISELANGOR

Tangki pangsapuri bocor, MBI sumbang air minuman kepada penghuni Penaga Mas

SHAH ALAM, 31 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang 240 botol air minuman 1.5 liter kepada penduduk Apartment Penaga Mas, Puchong pada Jumaat.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan bagi meringankan beban penduduk yang terkesan susulan kejadian tangki bocor kediaman itu minggu lalu.

“Dalam masa sama kita juga sedang menunggu permohonan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri untuk mendapatkan peruntukan membeli tangki.

“Bagaimanapun permohonan mereka akan diteliti dari keseluruhan aspek. Jika lulus kita akan bantu sehingga RM20,000 untuk tujuan itu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Ahmad Azri berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd meletakkan enam tangki sementara bagi memudahkan penduduk mendapat bekalan air bersih.

“Difahamkan kira-kira 150 unit rumah terkesan dengan kejadian ini. Kita harap bantuan diberikan mengurangkan beban mereka,” katanya.

Kejadian tangki pecah kira-kira jam 7.40 malam pada Khamis itu turut menyebabkan enam kenderaan mengalami kerosakan antaranya cermin pecah. Bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa.


Pengarang :