Sukarelawan Team Selangor bertungkus-lumus menyediakan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir di beberapa daerah di Selangor. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Team Selangor peruntuk 5,000 bakul makanan, bantu mangsa bah

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebanyak 5,000 bakul makanan disediakan oleh Team Selangor untuk mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku hujung tahun ini.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata bakul makanan berisi keperluan harian itu sedia diedarkan mengikut keperluan mangsa banjir.

“Pada kali ini, kita sediakan kira-kira 3,000 ke 5,000 bakul dengan memfokuskan makanan yang boleh terus dimakan atau mudah dimasak terutama ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita juga akan edar kit kebersihan kepada mangsa supaya kesihatan mereka terjaga. Agihan akan dilakukan di pusat pemindahan sementara dan mangsa yang berada di rumah,” katanya ketika dihubungi.

Susulan kejadian banjir tahun lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke PPS.

Team Selangor yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu menyantuni sebanyak 3,403 buah rumah yang terjejas di 71 lokasi dengan melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya membersih rumah, mengagih air minuman serta membungkus dan menghantar bakul makanan.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.


Pengarang :