Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tekanan kos haji meningkat, wakaf mungkin jawapannya

Oleh Nadia Jumri

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pemberian bantuan kewangan haji yang dijangka terus meningkat seiring dengan kos haji bukan satu kewajipan bagi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana ia tidak diperuntukkan dalam Akta Tabung Haji.

Justeru menurut pakar ekonomi, mungkin sudah tiba masanya konsep wakaf yang banyak membantu pembangunan ekonomi umat Islam sebelum ini, diperluaskan untuk turut menangani isu kenaikan kos haji, sekali gus membantu golongan berpendapatan rendah merealisasikan impian menunaikan Rukun Islam kelima itu.

TH memulakan pemberian bantuan haji kepada jemaah haji Malaysia pada 2001 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar sebahagian daripada kos sebenar mengerjakan ibadah itu. Pada musim haji 2022, jemaah daripada golongan B40 hanya membayar RM10,980 seorang.

TH pada awalnya menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada musim yang baru berakhir ialah sekitar RM25,000 susulan kenaikan cukai dan pengenalan caj perkhidmatan baharu oleh kerajaan Arab Saudi. Namun, angka itu disemak semula dan menurut TH, kos meningkat kepada lebih RM28,000 seorang.

Untuk musim haji 2023, kos menunaikan ibadah itu dijangka melonjak kepada RM31,000 seorang, bermakna bantuan haji TH juga akan bertambah.

Peningkatan kos ini yang berlaku disebabkan faktor luar kawal akan memberi tekanan kepada TH kerana pendepositnya juga memerlukan agihan keuntungan yang baik, kata Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School.

Sebahagian daripada 298 orang jemaah haji dari kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 18 Julai 2022 dengan penerbangan Saudia Airlines SV 5612. Foto BERNAMA

Tiada dalam akta

Menurut Ahmed Razman, mungkin ramai yang tidak menyedari pengurus dana haji itu tidak disyaratkan membantu pendeposit yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan ibadah tersebut dengan pemberian bantuan kewangan haji.

“Berdasarkan Akta Tabung Haji 1995, sedikit pun tidak menyebut institusi itu perlu membantu mereka yang tidak cukup simpanan untuk menunaikan ibadat berkenaan dan umat Islam harus faham dan jelas mengenainya.

“Bagaimanapun, atas dasar untuk menggalakkan lebih ramai umat Islam menunaikan haji, TH telah membantu pendeposit yang tidak cukup wang simpanan menerusi konsep subsidi, namun ia bukanlah hak setiap pendeposit untuk TH berikan (subsidi),” katanya katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, perkara yang dibimbangi ialah apabila pendeposit menganggap subsidi itu merupakan satu kemestian bagi TH, sedangkan ia sepatutnya boleh dipulangkan kepada semua pendeposit dalam bentuk hibah.

Tegasnya, jika TH berterusan memberikan bantuan kewangan, ini akan menyebabkan 9.1 juta pendeposit institusi itu tidak menerima pulangan hibah yang sewajarnya kerana kos menunaikan haji meningkat saban tahun.

Pada masa sama, TH juga perlu memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan setiap tahun dapat menampung kos operasi termasuk pemberian hibah.

Menurut Ahmed Razman, keuntungan tinggi diperlukan untuk pemberian hibah atau dividen pada kadar memuaskan kepada pendeposit TH.

Misalnya, pada 2020, TH memerlukan RM2.24 bilion bagi mengagihkan hibah pada kadar 3.1 peratus kepada semua pendepositnya.

Pada masa sama, institusi itu memerlukan antara RM300 juta dan RM400 juta sebagai subsidi untuk kira-kira 30,000 jemaah haji negara saban tahun, katanya.

“Kerana itu, mereka yang ingin mengerjakan haji perlu tahu kos menunaikannya akan sentiasa meningkat. Jadi, biarlah TH memberi bantuan kepada mereka yang lebih memerlukan seperti Orang Kurang Upaya dan golongan sasaran,” katanya.

Subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan pada musim haji baru-baru ini dilihat langkah terbaik dalam menangani peningkatan kos haji khususnya dalam membantu golongan kurang berkemampuan terus berpeluang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Tabung wakaf haji

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai pula berpendapat wakaf haji merupakan alternatif terbaik yang boleh dilaksanakan TH dalam menangani tekanan subsidi yang ditanggung institusi itu.

“Sekiranya langkah ini berjaya, kita akan dapat melihat kesannya dalam masa 10 tahun lagi, yang mana TH dan kerajaan tidak perlu memberikan bantuan subsidi kepada jemaah haji kerana ia akan ditampung oleh tabung wakaf haji.

Jemaah haji melakukan tawaf mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

“Ia akan menjadi pendekatan lestari yang boleh membantu bakal jemaah haji daripada setiap peringkat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, dan ganjarannya berkekalan selagi ada jemaah yang menunaikan haji melalui tabung wakaf berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata tabung wakaf itu boleh mengumpulkan RM455 juta setahun jika setiap pendeposit TH menyumbang RM50 seorang.

Kerajaan atau TH juga boleh membantu menambah simpanan tabung wakaf dengan peruntukan khusus.

Selepas 10 tahun, jumlah RM455 juta itu akan menjadi RM4.5 bilion, dan jika kerajaan serta TH menyalurkan sumbangan sebanyak RM350 juta setahun, bermakna ada tambahan RM3.5 bilion lagi untuk tempoh sama.

“Apabila dicampurkan kedua-duanya, baki tabung akan mempunyai RM8 bilion dan ini belum termasuk dividen. Dividen itu akan meningkatkan jumlah pendapatan tahunan, sekali gus membolehkan TH menghantar seramai 30,000 jemaah dengan bayaran kurang daripada RM13,000 seorang,” katanya.

Ujarnya, pendeposit hanya perlu menyumbang RM50 setahun selama 10 tahun dan jumlah terkumpul akan menjadi modal kekal yang dapat membantu bakal jemaah pada masa akan datang.

“Bagi jemaah yang tidak mampu menyimpan RM10,000 pun akan masih berpeluang mendapat bantuan daripada tabung ini dalam jangka masa panjang,” katanya, menambah bagaimanapun cadangan itu memerlukan persetujuan pendeposit.

Berkongsi pendapat sama, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Ali Muhamad Don berkata TH boleh mengikut langkah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang melaksanakan Wakaf Amanah Saham Nasional Berhad yang berkonsepkan wakaf muabbad atau wakaf berkekalan.

Menurutnya, PNB menyalurkan pulangan daripada modal wakaf itu kepada pelbagai projek wakaf melibatkan pelbagai sektor, antaranya kesihatan, pendidikan, pemerkasaan komuniti serta misi kemanusiaan.

“Jika aspek pelaburan modal wakaf dapat diuruskan dengan sistematik dan meraih keuntungan yang diharapkan, ia mampu digunakan untuk mengurangkan subsidi yang terpaksa ditanggung TH, sekali gus mengurangkan kos menunaikan haji yang dilihat meningkat saban tahun,” katanya.

Untuk musim haji 1445 Hijrah/2022, TH dianggar membelanjakan hampir RM200 juta dengan perkiraan kos menunaikan ibadah haji bagi jemaah muassasah ialah RM25,540 seorang. Namun, kos sebenar meningkat kepada RM28,632.

Daripada jumlah itu, seorang jemaah muassasah B40 hanya membayar RM10,980 manakala bagi yang bukan daripada B40 pula sebanyak RM12,980.

– BERNAMA


Pengarang :