Petugas Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) membimbing kanak-kanak berkeperluan khas mewarna ketika tinjauan di pusat berkenaan di Seksyen 7, Shah Alam pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Temu duga kursus kemahiran belia OKU dilaksana November, sasar 40 pelajar

SHAH ALAM, 5 OKT: Sesi temu duga program Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILCS) khusus untuk golongan istimewa berusia 17 hingga 22 tahun dijangka dilaksanakan pada November depan.

Ketua Jabatan Pusat Anak Istimewa Selangor (Anis) Danial Al-Rashid Haron berkata setakat ini hampir 10 permohonan diterima untuk sesi pertama kursus kemahiran kepada belia orang kelainan upaya (OKU).

“Untuk sesi awal, kita sasar 40 pelajar dan mereka akan dipanggil untuk temu duga. Menerusi temu duga ini, kita akan lihat kecenderungan mereka dalam minat yang diminatinya.

“Pelajar terpilih dihantar ke dua tempat latihan iaitu Selayang bagi bidang jahitan dan bakeri manakala di Bandar Sunway untuk pengurusan pejabat, teknologi digital dan kecerdasan buatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukan RM1 juta bagi menjayakan program ILCS yang menawarkan kursus dalam bidang jahitan, bakeri, pengurusan pejabat, teknologi digital dan kecerdasan buatan.

Program dikhususkan kepada peserta berusia 17 hingga 22 tahun itu bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut.

Pendaftaran telah dibuka dan boleh dilakukan menerusi  https://www.anisselangor.com/sediakerja.


Pengarang :