Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) berkenan mencemar duli menrasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Amir Shah berkenan rasmi sidang kemuncak niaga negeri 2022

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam majlis itu, Baginda menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara UMW Development Sdn Bhd dan LONGi (Kuching) Sdn Bhd.

Tengku Amir Shah juga menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Petronas Global Technical Solutions Sdn Bhd berhubung isu alam sekitar serta kelestarian alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ketika melawat reruai Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Usai acara itu, Baginda berkenan melawat ruang pameran Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor serta Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor.

Turut dilawati Tengku Amir Shah Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman).

Berlangsung mulai hari ini hingga 9 Oktober, edisi keenam SIBS menghimpunkan 906 pempamer daripada 623 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan itu menyasar potensi jualan sehingga RM350 juta dan mampu menarik 30,000 pengunjung sepanjang empat hari program diadakan.

Tahun lalu, SIBS merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjuran dengan menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.


Pengarang :