BUDAYARENCANA

Tentang memeluk keseorangan

Oleh Mohd Azmen

Kami tinggalkan kedai serbaneka dan kereta, lalu menyusuri blok-blok bangunan bersebelahan, melangkah perlahan menuju ke restoran kolonel. Blok bangunan bersebelahan – kafe dan restoran pizza sudah pun bergelap kerana memang mereka tutup lebih awal, berbanding blok restoran kolonel dan restoran makanan segera yang buka dua puluh empat jam.

Aku periksa jam, masih banyak masa lagi sebelum mereka bertukar kepada menu sarapan.

Sama seperti kedai serbaneka, di dalam restoran kolonel juga sangat sejuk – dinding kacanya penuh dengan wap kabus. Aku tak beli apa-apa di sini kerana pada aku masih ada baki minuman dari kedai serbaneka. Aku mahu pelawa Eun untuk habiskannya, tapi kafein tak begitu baik untuk dia yang sedang mengandung. Jadi, aku hanya pesan satu set ayam goreng bersama kentang lenyek dan coleslaw – untuk Eun.

Restoran agak lengang, tiada siapa yang benar-benar mahu berada di sini pada awal jam pagi kecuali aku dan Eun. Dan mungkin beberapa orang yang rambang, seperti si lelaki yang sedang duduk di kerusi depan bersama beg galasnya. Atau sekumpulan lelaki yang duduk di meja luar. Selebihnya cuma pekerja restoran yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sama seperti mereka yang lain, tak banyak yang aku dan Eun bualkan di sini.

Selepas beberapa ketika, Eun kembali diam dan merapatkan tubuhnya pada tubuh aku sebelum merenung kosong pada Inside Out di skrin telefon. Sejak hamil, Eun mula suka menonton kartun, hingga ada masa aku fikir mungkin ini hobi baru Eun, walau pada kebanyakan masa dia hanya ulang tonton Inside Out. Dan walaupun telah berulangkali tonton, Eun akan sentiasa larut menontonnya. Dia akan bersorak, mengeluh halus atau menggetus geram waktu menontonnya. Tapi tidak sekarang.

Aku boleh nampak tumpuannya seperti terganggu. Hingga satu ketika, dia alih pandangan dari skrin dan mula merenung kepada restoran yang sepi. Dan pada kebanyakan masa, renungannya jatuh kepada ruang taman permainan mini di sudut restoran ini – yang sudah hampir sejam sepi tanpa sesiapa di dalamnya.
Tak lama kemudian, Eun terlelap di lengan aku.

*

Di dalam kereta, Eun masih senyap. Kami beredar sebelum menu sarapan bermula di restoran kolonel itu. Hampir awal pagi, restoran kekal lengang, hanya tinggal aku, Eun dan si lelaki yang tidur di bangku luar restoran bersama beg galasnya. Pada mulanya aku terfikir untuk biarkan saja Eun terus terlelap di lengan aku tapi kemudian aku tak fikir Eun selesa tidur begitu dan posturnya juga tak begitu baik untuk kandungannya jadi aku kejutkan dia sebelum mengajaknya pulang. Aku fikir dia akan kembali tidur waktu di dalam kereta tapi pada waktu aku menoleh ke arahnya, dia sedang merenung ke luar. Aku tak fikir ia idea yang baik untuk memulakan perbualan dengannya, jadi aku terus memandu dan biarkan suara di stereo memenuhi ruang.

Di antara jeda itu, aku kembali teringat pada W.

Aku tak pernah rasa asing melalui episod-episod begini dengan W. Selalunya jika W. patah hati, atau aku rasa penat dengan hidup, kami akan duduk bersama mengongsi sunyi. Seperti waktu kami habiskan sepanjang malam duduk di pangkin tanah perkuburan. Ada waktu jika aku rasa seperti hilang arah, aku akan berkurung dalam bilik. Tapi ia tak halang W. datang ke rumah dan duduk di dalam bilik aku sambil buat halnya sendiri – baca komik-komik aku atau sekadar duduk di depan komputer menggeledah isinya – menunggu hingga keadaan jadi lebih baik. Dan selepas beberapa ketika, bila semua rasa jadi lebih baik, baru kami akan mula berbual. Begitu juga sebaliknya. Jika W. punya masalah, aku tahu di mana untuk mencarinya. Ada sebuah jambatan besar yang menghubungkan dua kampung, di mana W. selalu habiskan masanya di situ. Jambatan itu memang tak pernah sunyi daripada orang-orang rambang yang juga suka habiskan masa di situ, memancing atau saja duduk melihat air sungai mengalir. Atau merenung tunggul kayu di tengah sungai hingga rasa seperti berada di atas sebuah kapal yang sedang berlayar. W. akan selalu di situ. Duduk membakar Winston untuk berjam-jam lamanya.

Jadi, aku diam menemani Eun hingga dia selesai berperang dengan perasaannya.

Eun hanya kembali bersuara ketika aku sedang elus lembut rambutnya, waktu aku berbaring di sofa sambil merenung kosong pada skrin televisyen yang terpadam.

Eun kata sejak kebelakangan ini dia asyik mengalami mimpi yang berulang – mimpi berada di rumah waktu kecilnya. Aku tanya, apa yang ada di sana? Dia kata tiada apa-apa pun di sana. Menjadi seorang anak tunggal, dia hanya sendirian di rumah dengan segala benda yang tidak wujud. Hanya ada dia dan dirinya sendiri saja. .

Aku tanya lagi, adakah ia mimpi yang tak elok? Eun kata dia tak tahu, kerana ia hanyalah mimpi yang sama berulang-ulang tentang waktu kecilnya. Tentang kembali ke rumah pada waktu kecilnya, tentang menghabiskan waktu sendirian di dalamnya, tentang pada kebanyakan waktu dia merasakan keseorangan waktu berada di dalamnya. Dia rasa seperti terkurung. Dan ia tak pernah jadi lebih mudah. Akhirnya, pada waktu ibu dan bapanya berpisah, Eun mula rasa seperti ada sebuah ketakutan kekal yang tersimpan dalam dirinya untuk berkeluarga. Terutamanya untuk menjadi seorang ibu.

Ia selalu buat Eun fikir adakah dia akan mampu untuk besarkan anak di dalam kandungannya nanti bila anak itu lahir nanti. Adakah anak itu akan bersendirian juga seperti dirinya waktu kecil. Atau bagaimana untuk membesarkan anak itu dengan cara yang betul, kerana Eun tak pernah tahu.

Aku kata aku pun tak tahu, dan tiada sesiapa pun pernah benar-benar tahu, “Tapi mungkin kita akan mengetahuinya juga waktu kita laluinya bersama.”

“Ya, mungkin.”

Waktu Eun masuk tidur, aku masih terkebil-kebil di dalam gelap. Aku cuba untuk tidur tapi aku terlalu sibuk berperang dengan fikiran sendiri, hingga subuh tiba aku masih lagi belum lelapkan mata. Hampir ke jam enam setengah pagi, aku masih terjaga, dengan semua rasa kantuk yang telah hilang. Jadi, aku bangun menyucikan diri dan menghadap tuhan dalam sujud yang paling lama. Bila selesai, aku matikan kipas angin dan berbaring di sofa semula, mendengar bunyi pagi.

Aku tak sedar bila Eun meninggalkan rumah untuk ke tempat kerjanya kerana di dalam diam sunyi pagi, akhirnya aku terlelap. Cuma mungkin ia tak lama kerana aku terjaga oleh deringan telefon.

Dan di hujung talian Eun dengan suara cemas memberitahu dia sedang turun darah.


Pengarang :