Beregu badminton negara, Soh Wooi Yik dan Aaron Chia ketika menyertai kejohanan badminton Terbuka Denmark 2022 di Odense pada 19 Oktober 2022. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Terbuka Denmark: Aaron-Wooi Yik terus cemerlang, mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Juara beregu dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak kecemerlangan, apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka Denmark 2022 di Odense semalam.

Gandingan nombor satu negara itu, hanya mengambil masa 31 minit untuk mengenepikan pasangan Perancis Lucas Corvee-Ronan Labar, 21-13, 21-18 pada perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan gandingan di ranking keempat dunia, dijadual bertemu pasangan India yang juga pilihan ketujuh perlawanan R Satwiksairaj-Chirag Shetty, pada perlawanan suku akhir hari ini.

Pada masa sama, perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia turut melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama 21-5, 21-19.

Pemain ketiga dunia itu bakal berentap dengan perseorangan Indonesia Jonatan Christie pada suku akhir.

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie, mencipta sensasi apabila menewaskan rakan sepasukan Tan Kian Meng dan pasangannya Lai Pei Jing 18-21, 24-22, 22-20.

Pasangan ke-13 dunia itu, bakal bertemu pilihan kedua kejohanan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun, pada pertembungan suku akhir.

Bagaimanapun, perjuangan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah terhenti, apabila disingkirkan pasangan China yang juga pemain pilihan utama kejohanan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 21-18, 20-22, 21-17.

– BERNAMA


Pengarang :