Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TH utamakan senarai jemaah 2020 tunai haji, diikuti tahun seterusnya

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Keutamaan menunaikan ibadat Haji bagi 2023 akan diberikan kepada bakal jemaah yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada 2020, diikuti 2021, 2022 dan seterusnya mengikut prinsip sistem pendaftaran terbuka sedia ada.

Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ini disebabkan penangguhan ibadat haji untuk rakyat Malaysia akibat pandemik Covid-19 selama dua tahun dan mengikut konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” yang telah dilaksanakan sejak 1995.

“Pada setiap musim haji terdapat kekosongan yang disebabkan permohonan untuk menangguh giliran haji atas pelbagai sebab seperti kesihatan, pendidikan anak dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kekosongan ini akan diisi dengan senarai jemaah yang menunggu atau pertimbangan diberikan kepada mereka yang membuat permohonan rayuan. Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria-kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberikan keutamaan,” menurut kenyataan itu.

TH memaklumkan Kerajaan Arab Saudi kini giat membangunkan dua kota suci, Makkah dan Madinah bagi meningkatkan fasiliti dan kapasiti jemaah untuk memberi keselesaan kepada para jemaah haji dan umrah di masa akan datang.

Kenyataan itu menyebut berdasarkan Visi 2030 Kerajaan Arab Saudi, jumlah jemaah haji disasarkan meningkat kepada 5.4 juta menjelang 2030.

“Oleh yang demikian, TH juga optimis jumlah jemaah haji negara akan meningkat dan ini akan membolehkan masa menunggu tunai haji dapat dipendekkan,” menurut TH.

Melalui sistem pendaftaran terbuka sedia ada, TH memaklumkan para pendeposit boleh mendaftar menunaikan haji apabila simpanan mencecah RM1,300 dan akan diberi giliran tahun peruntukan menunaikan haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Setakat ini, seramai 3.8 juta pendeposit TH telah mendaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Kuota haji Malaysia dan lain-lain negara dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara. Buat masa ini, Kerajaan Arab Saudi masih belum menetapkan kuota haji rasmi dan syarat-syarat pemilihan bakal jemaah haji untuk musim haji 1444 Hijrah,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, TH komited menambah baik proses demi kepentingan pendeposit dan jemaah serta mengalu-alukan cadangan orang ramai bagi menambah baik perkhidmatan pada masa hadapan. – BERNAMA


Pengarang :