Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tidak lagi ‘pening’ cari duit, insentif negeri jimat belanja dapat rawatan

SHAH ALAM, 14 OKT: Dahulu Siti Zaiton Mohd Hashim, 51, ligat menjalankan perniagaan restoran, katering dan majlis perkahwinan. Kehandalannya memasak menyebabkan premisnya di Kampung Gombak Utara menjadi tumpuan.

Namun langit tidak selalu cerah. Serangan jantung dialami pada 2019 menyebabkan pergerakan ibu tiga cahaya mata itu terbatas.

Tangan untuk mengangkat sudip bagi menggaul masakan tidak lagi kuat susulan rawatan yang sedang dijalaninya.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan penularan Covid-19 menyebabkan banyak sektor ekonomi ditutup. Restoran dan pusat majlis perkahwinan miliknya yang beroperasi sejak 1997 terpaksa ditutup.

Pendapatan Siti Zaiton dan suami terjejas. Mujur ada simpanan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga termasuk anak berusia tujuh hingga 30 tahun. Pada saat sukar itu, Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan.

Menerusi bantuan Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Siti Zaiton disenarai menerima insentif rawatan asas sehingga RM500 setahun buat mereka sekeluarga. Manfaat
program Iltizam Selangor Sihat (ISS) itu dinikmatinya sejak Julai lalu.

“Jujurnya saya tidak pernah dapat bantuan kerana berkemampuan dan beri peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik, tetapi sekarang saya pun jatuh susah.

“Dahulu saya selalu salur sumbangan kerana aktif sebagai aktivis masyarakat, sekarang saya pula jadi penerima…saya terima ketentuan ini,” katanya kepada Selangorkini pada 27 September.

Penerima insentif Iltizam Selangor Sihat Siti Zaiton Mohd Hashim, 51, bercakap kepada media ketika ditemu ramah di Kampung Batu 9, Gombak pada 27 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Siti Zaiton bersyukur dan menghargai bantuan Kerajaan Negeri itu. Beban untuk kos rawatan di klinik dapat dikurangkan dan pendapatan diterima boleh dibelanjakan bagi keperluan lain.

“Anak bongsu menghidap asma, jadi memang kerap ke klinik…sebelum ini kena bayar sendiri tetapi sekarang bila ada bantuan ini tidak perlu bayar.

“Mana kita hendak dapat kerajaan negeri seperti di Selangor ini, macam-macam bantuan dapat,” katanya yang turut menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang bakal
memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta. Pesertanya akan mendapat bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Beli 16 barangan

Penerima bantuan boleh membeli 16 jenis barangan di pasar raya terpilih. Antara makanan asas boleh dibeli ialah beras, mi, telur dan minyak masak manakala lampin pakai buang, susu tepung, barangan
sekolah serta buku untuk keluarga mempunyai anak kecil serta masih bersekolah.

Manfaat insentif kesihatan negeri turut dirasai ibu tunggal, Yap Sook Theng yang menjual bebola
ikan di Taman Seri Gombak demi menyara dua anak berusia 14 dan 17 tahun.

Berpendapatan RM1,000 sebulan sekiranya jualannya laris, masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga terutama dengan harga barang melambung tinggi mutakhir ini.

Namun wanita berusia 37 tahun itu terharu kerana ‘dilindungi’ oleh Kerajaan Negeri yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan. Paling penting bagi Sook Theng, inisiatif ISS kerana keluarganya boleh mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500 setahun di klinik swasta.

“Pendapatan saya tidak menentu, kalau boleh jalan (berniaga) dan bebola ikan habis dijual, boleh dapat RM1,000 sebulan….tetapi tidak cukup.

“Mujur ada bantuan kesihatan dan Bingkas daripada Kerajaan Selangor, kurang sikit pening cari duit bila hendak beli barang atau jumpa doktor,” katanya.

Manfaat daripada ISS turut dirasai waris kepada peserta skim yang mendapat perlindungan insurans
sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.

Seorang daripadanya, M Perinppanayagi, 59, yang kehilangan suami pada April lalu akibat sakit jantung.

Beliau yang mendapat bantuan itu pada Jun lalu mahu menggunakannya untuk memperoleh keperluan asas. Meski tidak besar tetapi memadai hanya untuk dirinya lantaran tiada zuriat.

“Kini saya tinggal bersama adik kerana tiada anak… walaupun masih sedih dengan pemergian suami tetapi tetap bersyukur terima bantuan ini.

“Saya bercadang untuk menyimpan wang ini dan belanja apabila perlu terutama berkaitan perubatan, makanan dan minuman,” katanya.


Pengarang :