Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat ketika tinjauan pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga daerah di Selangor, KL diramal hujan lebat hingga 9 malam

SHAH ALAM, 22 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 9 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini membabitkan daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

Situasi sama diramal di seluruh Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala Perak melibatkan Kampar, Batang Padang dan Muallim serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin).

Sarawak pula di Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang selain Sabah di Pedalaman (Sipitang dan Nabawan), Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Tongod) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :