Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis bercakap kepada media ketika melakukan kunjungan bagi rancangan penubuhan Serve Elit di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiga individu pengsan terhidu gas bocor di restoran

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Dua pekerja restoran dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dikejarkan ke hospital selepas pengsan terhidu gas yang bocor di dalam sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba Shah Alam dan Tun Razak digegaskan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan pada 9.55 pagi.

Beliau berkata pegawai KKM berkenaan pengsan selepas masuk ke dalam restoran tersebut bagi membantu dua pekerja wanita yang turut pengsan.

“Ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan manakala restoran itu ditutup sementara siasatan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian itu berpunca daripada kipas pengalir udara tidak diaktifkan semasa pekerja restoran terbabit menggoreng ayam menyebabkan asap tidak dapat dialir keluar melalui dapur restoran.

“Kandungan gas karbon dioksida dan karbon monoksida yang melebihi kandungan gas oksigen telah menyebabkan ketiga-tiga mangsa terhidu asap dan gas sehingga pengsan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa yang dirawat di Hospital Ampang berada dalam keadaan stabil dan kes diserahkan kepada pasukan Hazmat untuk siasat lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :