AGENDANASIONAL

TNB siap siaga hadapi musim banjir, 2,500 kakitangan bertugas 24jam

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyenaraikan lebih 2,500 kakitangan daripada Bahagian Rangkaian Pembahagian untuk menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood berkata kakitangan terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

Beliau berkata bantuan logistik di negeri sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak; 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

Selain itu, Wan Nazmy berkata pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

“TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :