Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua anjuran PKPS di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Trak jualan barang dapur murah singgah DUN Ijok, Sentosa esok

SHAH ALAM, 18 OKT: Jualan murah barangan dapur anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan jelajah ke sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari, lokasi terlibat meliputi Tebuk Mufrad (abak), Balairaya MPKK Batu Kampung Ijok Batu 8 (Kuala Selangor) dan Taman Kantai Permai (Semenyih).

Ia turut berlangsung serentak di Pangsapuri Berembang Indah (Hulu Kelang), Flat 610 Jalan Pandan Indah (Teratai) dan Leng Eng Tian Khiew Ong Tai Tay Temple (Kampung Tunku).

Jualan juga diadakan di Arena Square Bukit Kapar (Sementa), tapak pasar malam Sentosa (Sentosa) dan pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Sungai Sedu (Banting).

Program Jelajah Ehsan Rakyat bermula 6 September sehingga 6 Disember ini menawarkan jualan barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Produk dijual meliputi ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek) minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

 


Pengarang :