Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Tujuh usahawan Sabak Bernam terima geran alatan berniaga

SABAK BERNAM, 15 OKT: Seramai tujuh usahawan di daerah ini menerima dana usahawan mikro di Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar hari ini.

Bantuan perniagaan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail.

Penerima, Zubir Shamsuddin, 53, yang merupakan pengusaha kedai perabot menerima bantuan berbentuk empat peralatan seperti mesin ketam kayu berjumlah RM30,000.

Zubir Shamsuddin

“Sebelum ini untuk hasilkan perabot saya melakukan secara manual seperti melicinkan kayu dan mengambil masa kira-kira tiga minggu tetapi dengan mesin yang bakal diterima ini proses menghasilkan perabot hanya 10 hari atau selewat-lewatnya dua minggu.

“Dengan adanya bantuan ini, saya berharap perniagaan bertambah maju dengan mendapat lebih banyak projek selain menambah pendapatan,” katanya ditemui pada program tersebut.

Sementara itu, peniaga nasi Arab dan kari kambing, Siti Shalfarina Tajri, 42, bersyukur apabila perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu akan lebih berkembang dengan adanya bantuan dana itu.

Siti Shalfarina Tajri

“Saya berniaga nasi Arab dan kari kambing dengan hanya beroperasi di rumah sahaja. Namun, saya bercadang untuk melebarkan perniagaan dengan menambah menu tambahan seperti kambing golek.

“Dengan adanya bantuan peralatan seperti penggolek kambing dan set buffet menjadi pendorong untuk saya mempelbagaikan perniagaan,” katanya.

Bantuan dana usahawan mikro Selangor memperuntuk sejumlah RM2 juta sehingga RM2.5 juta sebagai bantuan peralatan kepada usahawan mikro di sembilan daerah.

Geran tersebut diperkenal bagi membantu peniaga kecil negeri ini meningkatkan hasil jualan.

Syarat kelayakan untuk memohon seperti berikut:

  • Rakyat Selangor/bermastautin lebih 10 tahun
  • Perniagaan aktif sekurang-kurangnya lebih dua tahun
  • Nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000
  • Memiliki sekurang-kurangnya dua hingga lima pekerja
  • Berusia 18 hingga 60 tahun
  • Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  • Perniagaan sepenuh/separuh masa

Pengarang :