EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berucap ketika Majlis pembukaan Persidangan Pendigitalan PKS Selangor sempena Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Usahawan PKS digalak ceburi platform e-dagang kembang niaga ke negara luar

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalak menceburi platform e-dagang bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata langkah berkenaan seiring perkembangan industri perniagaan semasa selain mampu menarik pelaburan asing.

“Ini sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri. Penggunaan teknologi memberi kesan meluas kepada perkhidmatan kewangan malah setiap negara turut mempunyai ekonomi digital,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan persidangan pendigitalan PKS di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim berkata penggunaan platform digital juga memberi jaminan kepada pertumbuhan ekonomi sekiranya berlaku kejadian seperti pandemik Covid-19.

“Tahun ini e-dagang terus berkembang pesat dan banyk membantu peniaga terutama PKS untuk terus bertahan,” katanya.

Orang ramai menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

SIBS berlangsung mulai Khamis hingga esok menyasarkan 30,000 pengunjung dan setakat dua hari penganjurannya sejumlah RM1.12 bilion nilai transaksi berjaya diperoleh.

Tahun ini persidangan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.

Progam Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.


Pengarang :