Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor 2021 Daerah Sabak Bernam sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahawan terharu dapat bantuan, tidak perlu pinjam lagi barang niaga

KLANG, 24 OKT: Seorang pengusaha sate terharu kerana tidak lagi perlu meminjam alatan perniagaan daripada orang lain selepas menerima bantuan Kerajaan Negeri menerusi program Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Mohd Zuhairi Ismail, 51, berkata sebelum ini beliau lebih berhati-hati kerana bimbang pembakar sate yang dipinjam akan rosak dan terpaksa membayar ganti rugi.

Mohd Zuhairi Ismail

“Sebelum ini saya berniaga sate di sebuah restoran, tapi sebab Covid-19 perniagaan terpaksa ditutup. Kini saya berniaga sendiri dengan mengambil ‘francais’.

“Bila dah guna alatan niaga sendiri, rasa lebih yakin. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana beri bantuan bernilai lebih RM2,000 ini,” katanya pada program yang berlangsung di Stadium Sultan Suleiman semalam.

Mohd Zuhairi antara lima penerima bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang.

Seorang lagi peniaga, Mohd Fitri Mohd Aris, 44, menerima kiosk perniagaan burger menerusi sumbangan berkenaan.

Mohd Fitri Mohd Aris

“Sepanjang 30 tahun menjalankan pernigaan, saya tidak pernah terima bantuan. Terima kasih Kerajaan Negeri sebab sudi beri bantuan niaga kepada saya.

“Disebabkan kiosk ini lebih cantik, saya yakin akan dapat lebih ramai pelanggan,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan dibuka kepada pemohon yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Pemohon juga perlu memulakan perniagaan atau perusahaan sekurang-kurangnya satu tahun dengan menerima peralatan atau mesin yang diperlukan mengikut pernigaan yang dijalankan.


Pengarang :