Pelari menara nombor satu dunia Soh Wai Ching selepas memenangi larian menara di Penn 1 Plaza, New York pada 11 Jun 2022. Foto Facebook Soh Wai Ching
AGENDASUKANKINI

Wai Ching raih kemenangan keempat larian menara di AS

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Jaguh larian menara Soh Wai Ching meraih gelaran keempat berturut-turut di Amerika Syarikat (AS) selepas menjuarai Tunnel to Towers Climb Tampa Florida, semalam.

Atlet berusia 28 tahun itu melakukan catatan 3 minit 47 saat untuk mengatasi rekod Troy Alston dari AS 4:12s melengkapkan larian 39 tingkat dengan 861 anak tangga (ketinggian 142 meter).

Wai Ching melahirkan kegembiraan kerana mencapai matlamat untuk memenangi perlumbaan terakhirnya dengan cemerlang.

“Sangat gembira memenangi semua perlumbaan. Saya ingin berterima kasih kepada penaja kerana menyokong saya untuk empat perlumbaan dalam masa sembilan hari! Ia adalah perjalanan yang sangat sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 September Wai Ching menjuarai Larian Menara US Bank di Los Angeles diikuti Pertandingan Mendaki Anak Tangga Space Needle, Seattle pada 2 Oktober dan mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York, Khamis lepas. – BERNAMA


Pengarang :