Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat harap belanjawan negeri tambah peruntukan kesihatan mental

PETALING JAYA, 12 OKT: Belanjawan Selangor 2023 diharap dapat menambah peruntukan untuk kesihatan mental selain mengekalkan bantuan sedia ada, kata Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku.

Lim Yi Wei berkata isu kesihatan mental individu adalah antara yang perlu diberi perhatian dalam membantu masyarakat.

“Penjagaan kesihatan mental amat penting terutama ketika masyarakat kini berdepan dengan pasca pandemik Covid-19 yang bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

“Mungkin Kerajaan Negeri boleh menambah baik bantuan kesihatan mental dengan memberi subsidi pada sesi pertama bantuan pakar dan ubat-ubatan di klinik selcare,” katanya dalam sidang media Kejohanan Ragbi Wanita Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2022 (Piala ADN Kampung Tunku) hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan masalah itu dengan menyediakan bantuan kaunselor secara percuma menerusi inisiatif talian Selangor Mental Sihat (Sehat).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disediakan bagi memberi sokongan secara tidak langsung kerana isu kesihatan mental tidak wajar dipandang ringan.

Inisiatif Sehat dalam aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) merupakan usaha terbaru Kerajaan Negeri untuk membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.

Kaunselor Sehat boleh dihubungi di talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537, aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau layari http://www.drsitimariah.com/sehat.


Pengarang :