Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei (kiri) bersama Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) Tan Thiam Jin memegang poster Kejohanan Ragbi Wanita KRS 2022 selepas sidang media kejohanan berkenaan di Petaling Jaya pada 12 Oktober 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Kampung Tunku-KRS anjur kejohanan ragbi wanita, medan cungkil bakat baharu

PETALING JAYA, 12 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku dengan kerjasama Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) menganjurkan Kejohanan Ragbi Wanita KRS 2022 pada 15 dan 16 Oktober.

Lim Yi Wei berkata berkata kejohanan bagi merebut Piala ADN Kampung Tunku mempertaruhkan kategori Wanita Terbuka 10 sepasukan dan Wanita Bawah 16 tahun tujuh sepasukan.

Beliau berkata penganjuran julung kali yang berlangsung di Padang Astaka Petaling Jaya bertujuan memberi pendedahan kepada golongan wanita tentang sukan ragbi.

“Selangor mempunyai pasukan yang kuat dalam sukan ragbi dan setakat ini perkembangan mereka amat bagus dan mendapat pingat perak dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 baru-baru ini.

“Oleh demikian, kita menganjurkan kejohanan ini sebagai platform dalam memilih pemain untuk siap sedia dalam pelbagai pertandingan serta pemerkasaan wanita dalam penglibatan sukan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran kejohanan berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat KRS Tan Thiam Jin berkata kejohanan itu menjadi medan pencarian bakat muda dalam kalangan pelajar sekolah.

“Bagi kategori Wanita Bawah 16 tahun sebanyak tujuh sekolah di seluruh Selangor terlibat manakala Wanita Terbuka 10 sepasukan pula enam kelab ragbi terlibat termasuk salah satunya dari Singapura.

“Kejohanan ini menjadi serampang dua mata iaitu dengan adanya penglibatan pelajar sekolah memudahkan pencarian bakat untuk ke Sukma manakala untuk kelab pula pemilihan ke skuad senior 15 sepasukan,” katanya.


Pengarang :