ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berbual bersama penerima Bantuan Bangkit Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Meru usahakan dana senggara parit, longkang elak bah

SHAH ALAM, 3 OKT: Wakil rakyat Meru mengusahakan dana bagi menyelenggara sistem perparitan dan pembersihan longkang untuk mengelak banjir berikutan peralihan monsun bulan ini.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata kerja berkaitan harus disegerakan memandangkan fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku pertengahan Oktober.

“Ada yang mempersoal kenapa tidak diselenggara. Sebenarnya ada perparitan luar tanggungjawab Kerajaan Selangor, namun kita sudah bincang dengan pejabat tanah dan daerah untuk guna peruntukan sendiri.

“Kita tidak boleh kompromi perkara sebegini, sebab itu kita perlukan keizinan daripada pihak mereka (kerajaan) sebelum melakukan sesuatu kerja,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk Meru supaya bersiap sedia menghadapi situasi luar jangka susulan fenomena berkenaan.

“Saya paling bimbang sekiranya air naik mendadak ke dalam rumah penduduk ketika mereka sedang tidur memandangkan tengah bulan ini paras air laut dijangka tinggi dan berlaku pada 5 pagi.

“Jadi saya minta semua bersedia termasuk menguar-uarkan kepada jiran tetangga yang mungkin tidak tahu supaya masing-masing tidak kelam kabut. Saya mendoakan kita semua diberi perlindungan dan keselamatan,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 mm bermula pertengahan September hingga Disember.

Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang menjangka sebanyak 62 lokasi di daerah itu berisiko banjir yang menjejaskan lebih 10,000 penduduk.

Pada akhir Disember tahun lalu, Meru tidak terkecuali dilanda banjir berikutan hujan lebat luar biasa, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm.

 


Pengarang :