Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebak ketika berucap sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-16 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wan Azizah bertanding di Bandar Tun Razak, Rodziah pertahan kerusi KEADILAN di Ampang

SHAH ALAM, 28 OKT: Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Majlis pengumuman calon KEADILAN bagi kerusi di Semenanjung diadakan di Padang MPAJ Taman Kosas, Ampang malam ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu diamanahkan bertanding bagi merebut semula kerusi tersebut, disandang Datuk Seri Kamarudin Jaffar, yang meninggalkan KEADILAN pada 2020.

Beliau antara 11 ahli parlimen KEADILAN yang berpaling tadah sehingga menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Putrajaya.

Sementara itu, EXCO Usahawan Selangor Rodziah Ismail pula dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Ampang, yang dimenangi Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum bertindak keluar daripada KEADILAN bersama Kamarudin.

Wan Azizah dan Rodziah antara 72 calon yang diumum malam ini dalam majlis menandatangani bon aku janji, persetujuan pemulangan yuran deposit pencalonan dan persetujuan pemotongan elaun wakil rakyat.

Bagaimanapun, calon-calon KEADILAN untuk Sabah dan Sarawak akan diumumkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Miri minggu depan.

Berikut senarai lengkap calon KEADILAN bagi kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan:

Batu – Prabakaran A/L M Parameswaran (penyandang)
Wangsa Maju – Zahir Hassan
Setiawangsa – Nik Nazmi Nik Ahmad (penyandang)
Lembah Pantai – Fahmi Fadzil (penyandang)
Bandar Tun Razak – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Putrajaya – Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz

Senarai calon KEADILAN bagi kerusi Parlimen Melaka:

Tangga Batu – Rusnah Aluai
Hang Tuah Jaya – Adam Adli Abd Halim

Senarai calon KEADILAN bagi kerusi Parlimen Perlis:

Arau – Fathin Amelina Fazlie
Kangar – Noor Amin Ahmad (penyandang)


Pengarang :