Seorang wanita bersama bayi tiga bulan maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan kereta Mercedes dari arah bertentangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands tengah hari tadi. Foto Bomba
AGENDANASIONAL

Wanita, bayi tiga bulan maut nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 11 OKT: Seorang wanita dan bayi berusia tiga bulan maut manakala suaminya cedera parah selepas kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan kereta jenis Mercedes dari arah bertentangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata wanita yang meninggal dunia dikenali sebagai Nor Syahira Mohd Fadhail, 23, beralamat di Kedah manakala suaminya Amyroul Shah Huszaiery, 23, beralamat di Putrajaya.

“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bagi kerja-kerja menyelamat sebaik menerima panggilan pada pukul 12.46 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata anggota bomba yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Saiful Yazan Shahril bertindak mengeluarkan Amyroul Shah yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada pukul 2.54 petang.

Menurutnya lelaki yang memandu kereta Mercedes mengalami kecederaan ringan dan mereka yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan manakala dua yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :