Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Borang 5A) Parit 8 1/2 Barat Mukim Sabak sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Benam pada 14 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Waris pencipta lagu rasmi Selangor terima rumah sebelum akhir tahun

SABAK BERNAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri akan menyerahkan hadiah rumah bernilai RM1 juta kepada waris pencipta lagu rasmi Selangor sebelum akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penyerahan kediaman itu kepada anak Allahyarham Saiful Bahri Elias mengambil sedikit masa susulan perlu mengenal pasti rumah bersesuaian.

“Mungkin beliau (anak Allahyarham) dan keluarga terkejut mengapa pemain bola sepak (Selangor 1995) sudah dapat rumah. Sebenarnya (rumah) pemain bola ini sudah lama diurus.

“Tetapi rumah waris kepada penulis lagu (Selangor) kita baru urus kira-kira sebulan lebih selepas diumum pada malam 31 Ogos. Tetapi kita sudah siapkan dan akan maklumkan di mana lokasi rumah tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan surat kelulusan pemberimilikan tanah (Notis 5A) kepada 73 penduduk sempenan Jelajah Selangor Penyayang di sini hari ini.

Sebelum ini, Amirudin menyampaikan pengiktirafan itu kepada anak Allahyarham, Qus Nafiah dan empat adik-beradiknya pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos.

Pemuzik itu yang mencipta seni kata lagu Negaraku dan lagu negeri Selangor Duli Yang Maha Mulia serta Melaka meninggal dunia pada 1976 ketika berusia 52 tahun.

Karya gubahan dan susunan Saiful Bahri itu dirasmikan pada 8 Mac 1967 selepas dipersetujui Dewan Diraja Selangor dan diperkenan Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj bagi menggantikan lagu pertama negeri Cantik Manis.

Beliau turut menggubah banyak lagu patriotik seperti Inilah Barisan Kita, Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air.


Pengarang :