Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance Berhad Martin Bridger (kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Wavpay Brahma Shakthi (kanan) sambil disaksikan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) pelaksanakan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Shah Alam pada 21 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wavpay, AmGeneral meterai perjanjian laksana skim insurans percuma

SHAH ALAM, 21 OKT: Wavpay Fintech Holdings Sdn Bhd (Wavpay) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral) bagi melaksanakan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Kerjasama strategik tersebut ditandatangani CEO Wavpay Brahma Shakti manakala AmGeneral oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Martin Bridger.

Turut menyaksikan majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di sini hari, adalah EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Terdahulu, Chang Khim berkata perjanjian tersebut sebagai permulaan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi manfaat rakyat serta negeri pada masa depan.

“Kerjasama yang dijalin adalah langkah pertama ke arah pelbagai kerjasama lain. Kita boleh manfaatkan pelbagai produk menggunakan teknologi digital.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Selangor untuk memperkasakan teknologi digital. Sebagai permulaan kita manfaatkan kombinasi antara teknolgi digital dan insurans,” katanya.

Pada 30 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima Insan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar hingga 30 September tahun depan, dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.wavpay.net.


Pengarang :