Pelakon Yana Samsudin akan menemui orang ramai dalam program Sabak Berselawat sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 14 Oktober 2022. Foto Facebook Yana Samsudin
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Yana Samsudin, Elly AXL meriahkan Jelajah Selangor 14 dan 15 Oktober

SHAH ALAM, 13 OKT: Pelakon Yana Samsudin dan penyayi Elly AXL bakal menemui orang ramai sempena karnival Jelajah Selangor Penyayang di Sabak Bernam pada 14 dan 15 Oktober ini.

Yana, 38, bertindak sebagai moderator bagi program Sabak Berselawat bertajuk Ekonomi Manusiawi: Mudahnya Menjemput Rezeki bersama tiga panel di Stadium Sungai Besar malam esok.

Elly, 47, yang popular dengan lagu Akulah Kekasihmu pula muncul sebagai penampilan khas dalam pertandingan Battle of the Band pada 15 Oktober mulai 9 malam.

Kedua-dua acara tersebut sebahagian daripada program jelajah fasa dua bertemakan Menjana Ekonomi Manusiawi yang turut melaksana saringan kesihatan percuma dan jualan barangan murah.

Jelajah yang bakal dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Sabtu turut meliputi serahan dana usahawan dan penyerahan Kunci Kedai Smart Selangor.

Beliau juga dijadual menyerahkan Notis 5A di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak pada 14 Oktober selain mengadakan program kenduri rakyat dan penggerak masjid.

Amirudin turut melepaskan pelumba basikal dari situ ke Meru Raya, Perak bagi peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam program jelajah tersebut.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Padang Awam Batu Caves, Gombak.

 


Pengarang :