Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf (belakang, tujuh kiri) bergambar bersama anak yatim dan wakil agensi dalam program agihan bubur lambuk di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh pada 20 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yide anjur Bulan Anak Yatim, ingati peristiwa Rasulullah lahir

SHAH ALAM, 2 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menganjurkan Bulan Anak Yatim sepanjang Rabiul Awal 1444 Hijrah bagi meraikan anak yatim di 22 rumah kebajikan seliaannya.

Pengurus besarnya berkata penganjuran edisi kedua bermula 28 September hingga 28 Oktober sebagai memperingati peristiwa kelahiran Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal yang juga anak yatim ketika dua bulan dalam kandungan ibunya.

“Antara program disusun sepanjang tempoh terbabit ialah kuliah Maghrib perdana di beberapa lokasi terpilih dengan menampilkan pendakwah terkenal seperti Imam Muda Asyraf, Imam Muda Megat, Pencetus Ummah (PU) Hafiz dan Ikon Mahabbah Yide Ustaz Don Daniyal.

“Kita juga mengatur program tazkirah dan kuliah yang turut menampilkan Don Daniyal di Masjid Bukit Jelutong termasuk khutbah khas bersama anak yatim,” kata Nur Mohd Razali Abdullah pada program bual bicara di saluran YouTube Media Selangor kelmarin.

Beliau menambah berdasarkan kajian, Yide merupakan pertubuhan anak yatim pertama di negara ini yang melaksanakan Bulan Anak Yatim.

“Alhamdulillah, kita terpanggil untuk mengadakan Bulan Anak Yatim bagi mengajak orang ramai supaya menyantuni dan menyayangi anak yatim seperti anak sendiri.

“Insya-Allah, program sebegini akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa pentingya menjaga anak yatim,” katanya.


Pengarang :