Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yide Mohamad Salim Sain dan Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah mengadakan ziarah kasih yatim di rumah lima beradik yang kehilangan bapa akibat Covid-19 di Seksyen 24, Shah Alam pada 14 April 2022. Foto Facebook Yide
AGENSI SELANGOR

Yide belanja lebih RM500,000 bantu pelajar yatim sepanjang pandemik

SHAH ALAM, 1 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) membelanjakan lebih RM500,000 bagi membantu pelajar di Selangor yang kehilangan ketua keluarga akibat pandemik Covid-19.

Pengurus besarnya berkata bantuan tunai RM100 disalur kepada 1,403 pelajar daripada 1,020 keluarga Islam sejak dua tahun lepas berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Selangor.

“Dalam tempoh dua tahun memang terdapat ramai ketua keluarga meninggal dunia, jadi kita turun padang untuk agih bantuan wang tunai kepada mereka yang terlibat termasuk RM500 untuk ketua keluarga.

“Pada masa sama 29 anak yatim piatu turut diberi bantuan sama tetapi nilainya lebih sedikit memandangkan mereka kehilangan ibu dan bapa,” kata Nur Mohd Razali Abdullah.

Bercakap pada program bual bicara di saluran YouTube Media Selangor, semalam, beliau memaklumkan Yide sentiasa mengikuti rapat perkembangan penerima bantuan dari masa ke semasa bagi memastikan kebajikan terjaga.

“Misalnya awal tahun lalu, kita bertanya khabar mereka sama ada wang persekolahan mencukupi atau tidak termasuk keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Razali berkata pihaknya memberi subsidi kad prabayar sebanyak RM30 kepada 8,000 anak yatim di Selangor bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang pandemik.

“Bagi tujuan ini, kita memperuntukkan hampir RM20,000 untuk membantu pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya.


Pengarang :