Majlis ringkas penyerahan sumbangan set kelengkapan sekolah kepada anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada 12 Januari 2021. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide perkenal potongan gaji bulanan serendah RM2 bantu anak yatim

SHAH ALAM, 1 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melaksanakan skim potongan gaji serendah RM2 sebulan dalam kalangan kakitangan untuk disumbang kepada anak yatim di Selangor.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata inisiatif yang dimulakan sejak tahun lepas bertujuan membantu golongan memerlukan bertepatan dengan saranan Nabi Muhammad.

“Kita mengambil konsep meraikan anak yatim kerana Baginda pernah bersabda ‘orang yang menyantuni anak yatim di dunia akan menempati kedudukan yang tinggi di syurga dekat dengan kedudukan Rasulullah SAW’,” katanya.

Bercakap pada program bual bicara di saluran YouTube Media Selangor semalam, beliau berkata pihaknya juga menyediakan aplikasi digital bagi memudahkan orang ramai menderma secara dalam talian.

Jelas Nur Mohd Razali, melalui aplikasi berkenaan orang ramai boleh menyumbang mengikut kategori anak yatim, dialisis dan bencana tanpa caj tersembunyi.

“Kategori derma untuk masjid dan tahfiz turut dimuatkan dalam aplikasi tersebut dengan lima peratus daripadanya akan disalur kepada anak yatim.

“Penyumbang juga boleh menyemak amaun sumbangan mereka manakala resit pelepasan cukai akan dikeluarkan pada akhir tahun,” katanya.


Pengarang :