Pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Zii Jia tepati ramalan ke separuh akhir Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menepati ramalan apabila berjaya mengesahkan slot separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Denmark 2022 di Odense, awal pagi tadi.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan di Jyske Bank Arena, Zii Jia terpaksa mengharungi pertarungan selama 67 minit sebelum mengetepikan cabaran pilihan kelapan, Jonatan Christie dari Indonesia, 21-16, 18-21, 21-18.

Juara All England 2021 itu akan bertemu pilihan ketujuh, Loh Kean Yew dari Singapura pada perlawanan separuh akhir selepas Kean Yew melakar kejutan dengan menumbangkan pemain ranking pertama dunia dan wakil tuan rumah, Viktor Axelsen, 21-17, 21-10.

Terdahulu, juara beregu dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak kecemerlangan apabila turut melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menumpaskan pasangan India, R Satwiksairaj-Chirag Shetty, 21-16, 21-19.

Aaron-Wooi Yik dijadual menentang pasangan ranking ketiga dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang menyingkirkan beregu senegara Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 15-21, 22-20, 22-20.

Pada masa sama, beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mara ke pusingan seterusnya setelah membenam pasangan Taiwan, Lee Yang-Lu Chen, 18-21, 21-19, 21-13 dalam saingan suku akhir yang berlangsung selama 63 minit.

Gandingan pilihan kelapan kejohanan itu akan bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang menang mudah ke atas beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 21-12, 21-15.

Beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie turut mencipta sensasi apabila menewaskan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 21-18, 21-14 dan akan bertemu pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada pusingan separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :