Pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Perancis

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Perancis 2022, selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain bukan pilihan dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito hari ini.

Zii Jia yang juga pilihan ketiga kejohanan, mudah ditundukkan 19-21, 18-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 44 minit, di arena Stade Pierre de Coubertin di Paris.

Pada pusingan kedua esok, Rhustavito, yang berada di ranking ke-24 dunia, akan turun bertemu pemain Jepun Kodai Naraoka, yang telah menewaskan pemain Kanada Brian Yang 21-15, 21-18.

Ahad lepas, Zii Jia terpaksa akur apabila hanya mampu menjadi naib juara selepas tewas kepada pemain China Shi Yuqi 18-21, 21-16, 12-21, di final Terbuka Denmark 2022.

Dalam perkembangan lain, pemain berusia 24 tahun itu berjaya melonjak satu anak tangga dan kini berada pada ranking kedua terbaik dunia, berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Zii Jia naik satu anak tangga dari kedudukan di tempat ketiga, selepas berjaya mengumpulkan 92,528 mata, manakala penyandang juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark kekal di tempat teratas dengan 122,606 mata, manakala rakan senegara Anders Antonsen di tempat ketiga dengan 87,400 mata.

Sementara itu, nasib sama turut menimpa tiga lagi wakil negara termasuk juara beregu lelaki dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tumpas kepada gandingan bukan pilihan dari China, Wei Keng Liang-Chang Wang 13-21, 14-21, dalam pertarungan selama 31 minit.

Dalam saingan beregu campuran, gandingan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai gagal menyaingi kehebatan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati apabila kecundang, 14-21, 10-21.

Dalam kategori beregu wanita pula, pasangan Scotland, Julie Macpherson-Ciara Torrance menafikan impian gandingan negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien mara ke pusingan kedua selepas bangkit menoktahkan kemenangan 6-21, 21-13, 21-18 dalam masa 68 minit.

– BERNAMA


Pengarang :