AGENDANASIONAL

Zubaidah Mukhtar kini ketua pengarah baharu Istana Budaya

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Zubaidah Mukhtar dilantik Ketua Pengarah Istana Budaya baharu berkuat kuasa hari ini.

Zubaidah, 54, menggantikan Zaiton Md Desa yang bersara wajib pada 20 Oktober tahun lepas.

Beliau adalah lulusan Universiti Alabama di Tuscaloosa, Amerika Syarikat dan berpengalaman luas selama 30 tahun dalam bidang pelancongan, kesenian dan kebudayaan.

Zubaidah pernah berkhidmat di JKKN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pernah menyandang beberapa jawatan antaranya Pengarah Bimbingan Seni Budaya JKKN selain pernah berkhidmat di Istana Budaya sebagai Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam pada 2002 hingga 2011.

Bercakap kepada Bernama, Zubaidah berkata beliau berhasrat memperluaskan kerjasama dengan pelbagai tenaga kerja daripada produksi lain bagi memperkukuh industri seni dan budaya negara menerusi pertukaran kepakaran dan pandangan.

“Misalnya, kita boleh bekerjasama dengan MPO (Orkestra Filharmonik Malaysia), orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan orkestra RTM dengan menganjurkan festival orkestra di Istana Budaya.

“Pada saya tiada rival (persaingan) dalam industri kerana industri ini pun kecil, sebaliknya kita kena saling melengkapi,” katanya.

Zubaidah turut bercadang menubuhkan Persatuan Seni Persembahan yang melibatkan penyedia tempat persembahan seluruh negara diterajui pihaknya.

Dalam pada itu, Zubaidah juga berharap menerusi proses penggantian dan baik pulih bumbung Istana Budaya yang dijangka bermula pertengahan tahun depan mampu meningkatkan imej pentas berprestij itu di mata dunia.

“Bangunan ini telah berusia lebih 20 tahun dan tentunya tampak usang, jadi proses renovasi merupakan bahagian penting bagi memastikan Istana Budaya tampak gah semula,” katanya sambil menambah pusat tersebut dijangka ditutup untuk satu tempoh ditetapkan bagi tujuan penyelenggaraan itu. – BERNAMA


Pengarang :