Suasana di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Binjai Meru, Klang ketika tinjauan berkenaan bencana banjir di sekitar Klang pada 11 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,251 mangsa bah dari empat negeri masih di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seramai 1,251 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri, setakat 8 malam ini.

Di Perak, 778 orang daripada 221 keluarga masih berada di sembilan PPS, manakala beberapa jalan di daerah Kerian dan Perak Tengah sudah boleh dilalui semua kenderaan ringan.

Di Selangor, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 400 orang berbanding 558 orang pagi tadi, yang kesemua mereka ditempatkan di sembilan PPS iaitu empat di Kuala Selangor dan lima di Kuala Langat.

Jumlah mangsa banjir di Johor juga menurun dengan 62 orang ditempatkan di tiga PPS.

Di Melaka, 11 orang daripada empat keluarga dari Kampung Pulau dan Kampung Belimbing masih berada di PPS Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, berbanding 24 orang pagi tadi.

-BERNAMA

 


Pengarang :